Saturday, May 7, 2011

PERMATA YANG KU SAYANG



Sudah dua minggu Ibu demam.Puas juga aku memujuk untuk ke hospital.Ibu degil.Tidak mahu berjumpa doctor.Kononnya bila berjumpa doctor sudah tentu Ibu akan di tahan dalam wad.Ibu tahu penyakit  kencing manis yang di hidapinya sejak tiga tahun  lepas sudah sampai ke tahap bahaya.Kandungan gula dalam darah sudah tidak dapat di kawal lagi.
Aku tidak putus asa.Aku terus memujuk Ibu.Aku harap kali ini Ibu akan setuju.Bulan lepas ketika suamiku membawa Ibu berjumpa doctor telahpun mengesahkan bahawa penyakit Ibu  semakin  parah.Kali ini doctor ingin berjumpa sendiri dengan anak lelaki Ibu.Suamiku hanya menantu!.
Aku  tahu semua anak Ibu sibuk.Mana ada masa untuk membawa Ibu ke hospital.Apatah lagi untuk  melawat Ibu jika Ibu di tahan dalam wad seperti dulu.Masing-masing ada hal sendiri.Wang lebih penting.Malah   kesemua anak Ibu seramai sembilan orang itu sibuk mengumpul wang.!
Aku sebagai anak perempuan yang mempunyai anak empat inilah menggalas tugas menjaga Ibu.Suamiku yang bekerja sebagai buruh kasar itulah yang siang dan malam  tidak pernah lupa mengingatkan aku tentang kesihatan Ibu.Pada hal aku tahu selama ini  suamiku bukan menantu pilihan Ibu.
Ku renung wajah Ibu yang sedang nyenyak tidur.Kerut di wajah Ibu membayangkan betapa sukarnya penderitaan yang Ibu tanggung.Semasa Ibu berumur 45 tahun ,bapaku telah kembali ke rahmahtullah.Sejak itu Ibu bersusah payah membesarkan kami dengan kudratnya seorang perempuan.Kudrat seorang ibu tunggal..
Aku masih ingat lagi ketika pagi Khamis bulan Ramadhan  20 tahun dulu.Aku ketika itu baru saja dalam tahun empat.Sedang asyik aku menulis pelajaran matematik tiba-tiba namaku di panggil.
“Ummira Syahirah ,sila ke bilik Guru Besar sekarang juga”
Aku bangun perlahan sanbil mengikuti kerani pejabat sekolah kami .Dalam kepala aku berfikir .Mengapa aku perlu ke bilik Guru Besar?Apakah kesalahanku?Selama ini aku tidak pernah melakukan sebarang kesalahan.Mengapa aku di panggil pada waktu ini?Bukan masa rehat.Dalam aku berteka –teki itulah secara tidak sedar kami telahpun berada di depan Guru Besar.
“Ummira Syahirah,saya ada berita untuk di sampaikan pada awak”kulihat di sebelahku  adalah abangku yang sulung.
Aku jadi semakin keliru bila ku lihat mata Abang Long berair.Mukanya merah.

“Sebenarnya bapa awak telah di timpa kecelakaan awal pagi tadi.Sekarang dalam perjalanan ke hospital Alor Star.Abang kamu datang untuk membawa kamu pulang.Saya doakan agar bapa awak akan selamat dan dalam peliharaan Allah.Sekarang awak pulang ke kelas.kemas barang dan boleh ikut abang awak pulang”lembut bicara Guru besar.
Aku melangkah longlai ke kelas.Kemas beg dan ikut Abang Long pulang.Dalam perjalanan pulang aku merasa kurang senang .Aku memikirkan keadaan bapa.Selama ini aku dan bapa sangat rapat.Ke mana saja bapa pergi aku tetap ada di belakang.Kami membonceng Vespa biru mengelilingi kampung setiap petang. Pernah Ibu menegur bapa supaya jangan terlalu memanjakan aku sangat.Aku anak kesayangan bapa.Kerana itulah abang-abang dan kakak-kakakku sangat cemburukan aku,kononnya aku anak emas.Dalam aku berangan-angan tiba-tiba Abang Long berhenti di tepi jalan.
“Kenapa ni Abang Long,cepatlah sikit.Ummi dah tak sabar nak tiba di rumah “aku merungut.
“Nasib malang betul,tayar basikal pancit pulak.Nampak nasib kita  memang malang hari ini.Sudah jatuh di timpa tangga “Abang Long cuba memerhatikan tayar basikal.
“Kenapa pulak ,tadi o.k. saja.Dah  lah rumah kita jauh lagi dari sini”aku masih mengomel.
“Kita terpaksa jalan kaki,”getus Abang Long.
“Tapi Abang Long,1 km lagi baru kita akan sampai.Cuaca panas terik ni”aku masih tidak puashati dengan  jawapan Abang Long.
“Apa boleh buat,kita kena jalan kakilah jawabnya”Abang Long mencapai beg sekolah aku dan menggalas di belakangnya.
“Ummi hauslah,dah  penat berjalan”
“Ummi,jangan banyak merungut.Tuhan marah.Cuba banyak bersabar sikit.Baca doa banyak-banyak agar bapa selamat”
Kami berjalan di jalan bertar batas sawah.Sambil bersungut kehausan aku menarik daun padi yang kekuningan.Sawah terbentang luas sedang menguning.Tidak lama bapa dan Ibu akan menuai padi.Aku  tentunya akan dapat basikal baru kali ini.Bapa telah berjanji akan menghadiahkan aku basikal baru kerana mendapat nombor satu  kali ini.
Bila aku dan Abang Long sampai di perkarangan rumah,kami sungguh terkejut melihat orang ramai sudah memenuhi laman rumah Abang Long berlari  ke ruang tamu.Aku mengikutinya dari belakang.Ibu,abang-abang dan kakakku datang memelokku.
“Bapa telah meninggal”bisik kakak ketelingaku.


Aku rebah.Aku  tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.Bila aku sedar semua mata memandang ke arahku.Ibu memelok dan mencium pipiku.Ibu tetap tenang memujukku.Semua abang-abang dan kakak-kakakku memegang Al-Quran.Masing-masing sedang ralib membaca Yassin.Aku terkapai-kapai memegang  kaki bapa.Aku kehilangan tempat bermanja!
“Ummira,mak nak air”
Terhenti lamunan ku bila tiba-tiba Ibu memanggil namaku meminta air.
“Ibu,ini airnya.Biar Ummira  pegang gelas .Ibu mesti minum banyak air”pujukku.
“Ummira ada masakkan bubur dan sup untuk Ibu.Kalau Ibu nak cepat sembuh ,Ibu kena makan”aku ambil mangkuk sup dan cuba untuk  menyuap bubur ke mulut Ibu.
“Ibu tak ada selera.Sejak demam ni Ibu tak teringin lansung  nak makan”
“Tapi Ibu kena makan juga,ikut nasihat doctor.Kalau tidak demam Ibu akan melarat”aku masih memujuk.Ibu tetap berkeras tidak  ingin makan.
‘Kau dah telefun Abang Long kau ke?Kalau Abang Long nak datang suruh dia belikan buah untuk Ibu”
“Dah ,Abang Long kata dia sibuk”acuh tak acuh aku menjawab pertanyaan padahal aku sudah muak  dengan Abang Long.
Ibu terdiam.aku tahu Ibu sangat rindukan Abang Long.Tapi sudah lima kali aku telefun beritahu Abang Long.Kak Imah kata Abang Long sibuk.Ibu membetulkan  rambutnya yang berjurai di dahi.Aku faham mengapa Ibu beria-ia sangat nak jumpa Abang Long.
“Ibu,abang balik kerja nanti ,abang nak bawa Ibu ke hospital”aku cuba menarik perhatian Ibu.Biar Ibu faham apa yang aku inginkan.
“Ibu tak nak lagi ke hospital.Kalau nak mati ,biar mati kat rumah ni”balas Ibu sambil  terketar-ketar meraba   bantal.
“Ibu,janganlah macam tu,ini untuk kebaikan Ibu.Ibu mesti fikirkan  kesihatan Ibu”pujukku tanpa jemu.
“Anak kau menangis tu,nanti jatuh buaian pulak”aku bingkas bangun menaiki anak tangga menuju ke buaian.Mohd Luqman Hakim sedang menangis.
“Jangan menangis sayang,Mama dah datang ni”aku  menarik kain buaian  lalu  mendukung anak  bongsuku.
Aku terdengar Ibu batuk .kuat  dan berulang-ulang.Aku tak sampai hati membiarkan Ibu keseorangan .aku turun anak tangga perlahan-lahan.Merapati Ibu yang semakin kuat  bunyi batuknya.menganggu  telingaku.Ku pegang tangan Ibu.Panas sekali.
Aku membasahkan tuala.Aku meletakkan di dahi Ibu.Sambil mendukung anakku yang berusia tiga bulan.Aku memicit-micit badan Ibu.Mohd Luqman Hakim  menangis.Aku menyusukan segera.Tanganku tidak lekang memicit kaki,tangan dan seluruh badan Ibu.
“Ummira,kau dah masak ke?Sekejap lagi anak-anak kau akan pulang.Tinggalkan Ibu,biar Ibu jaga Luqman”
“Tapi Ibu kan tak berdaya ni,budak-budak tu tak   apa.Diaorang faham  Ibu tak sihat”aku cuba mengambil hati Ibu agar dia tidak tersinggung.
Tiba-tiba telefun berdering.Siapa pulak yang sibuk nak  cakap waktu aku sedang gawat macam ni .Aku berlari mendapatkan telefun.Luqman menangis di sebelah Ibu.Aku tidak peduli ,yang penting bunyi deringan itu semakin lama.Aku tidak tahan mendengar bunyi yang bingit itu.
“Assalamualaikum,Ummira ke ni?”
“Waalaikumussalam,Ya Ummira cakap”
“Kakak Solehah ni,kakak dengar Ibu tak sihat ya?”
“Mana kakak tahu”balasku selamba.
“Abang Long telefun tadi.Katanya dia tak dapat jenguk Ibu.Kakak pun minta maaflah.Kakak tak dapat pulang.Malam ni kakak  nak bertolak ke Johor Bharu.Ada meeting kat sana.Suruh aje suami kau bawa  Ibu ke hospital’senang sungguh kakak dan  abang-abang ku melepaskan tanggungjawab mereka.
“Tak apalah kak,Ummi  tahulah macamana nak pujuk Ibu.Sampaikan salam  kami semua untuk keluarga kak ya.Luqman dah nangis tu.Tak boleh nak cakap lama-lama.”balasku dengan nada sedih.
Aku sedar selama ini mereka semua tidak pernah mempedulikan Ibu.Macam-macam alas an di berikan .Ipar duai sering menolak untuk menjaga Ibu.Sudah banyak kali masuk wad tapi batang hidung mereka pun tidak pernah nampak.Aku rasa Ibu sedang memendam perasaan.!
Mereka semua bertuah kerana hidup dalam kemewahan harta dan wang.Mereka ada segala-galanya.Semasa  kami semua di bahagikan harta pusaka peninggalan arwah bapa  mereka bertegang leher berebutkan tanah.Abang Long  mendapatkan tanah sawah berekar-ekar.Tanah kampung dan tanah kebun getah pun mereka bahagikan  mengikut bahagian.Mereka mengaturkan semuanya.
Aku dan suamiku hanya mendapat rumah buruk ini dengan tanah sekangkang kera.Mereka mengatakan aku bertuah kerana Ibu mahu tinggal denganku di rumah yang kian usang ini.Sakit pening Ibu mereka tidak peduli.Suamiku Azli yang bertungkus lumus seharian bekerja sebagai buruh lah yang mengambil berat semua keperluan Ibu.


Kadang-kadang aku jadi malu pada suamiku.Setiap kali Ibu mengadu ingin  mereka semua berkumpul masing-masing ada seribu alas an.Mujur anakku yang sedang meningkat remaja itu memahami keadaan kami.Susah senang kami tidak pernah mengadu.Aku  tahu suamiku selalu menyuruh aku bersabar saja dengan kerenah kesemua abang dan kakakku.
Aku tidak tahan melihat airmata Ibu yang rindukan cucunya yang lain.Mereka semua seakan menjauhkan diri dari Ibu.Mereka tidak ada masa untuk menjenguk Ibu.Apatah lagi untuk membelai Ibu.Walau pun aku dan suami sering kesempitan wang kami tidak meminta wang Ibu.Aku tahu Ibu mempunyai wang .Namun tidak sampai hati bila aku terkenangkan betapa sengsaranya Ibu membesarkan kami seramai sembilan orang tanpa suami yang tercinta.Semuanya Ibu lakukan sendiri..
Ibu menjadi Ibu tunggal semasa berusia 45 tahun.Ibu mempunyai rupa paras yang menarik,kuat beribadah dan berpekerti mulia.Aku tidak hairan mengapa ramai yang melamar Ibu.Ibu menolak semua lamaran yang datang.Aku di alam remaja ketika itu.Bila ku tanya tidakkah Ibu inginkan teman untuk berkongsi suka –duka Ibu hanya menggelengkan kepala.
“Ibu ingin anak-anak Ibu membesar dengan sempurna.Harta peninggalan arwah bapa Ibu jadikan tempat  untuk bersabung tenaga mencari rezeki.Bagi Ibu,anak-anak  perlukan pelajaran .Kasih sayang Ibu hanya untuk anak-anak”jawapan Ibu sungguh mengecewakan aku.Aku teringin bermanja dengan seorang bapa seperti orang lain juga.
“Sebab tu Ibu menolak  pinangan Haji Ismail?Dia orang baik-baik Ibu.Sampai bila Ibu akan bersendirian?”tanyaku semula.
“Ummira masih  tidak faham rentak dunia.Nanti bila Ummira dewasa dan matang,Ummira akan faham dengan sendiri”ujar Ibu sambil melemparkan senyum .
“Ummira suka pada Haji Ismail tu.Pandai bergurau,selalu kat masjid.Lagi pun dia juga macam Ibu.Keseorangan.Apasalahnya Ibu menerima saja pinangannya.Mak Ngah kata orangnya alim.Cuma Ibu saja yang memilih”tokokku lagi.
“Ummira,dalam zaman sekarang jangan mudah sangat kita nak percayakan orang.Banyak musang berbulu ayam”Ibu tetap membela diri.
“Ummira cuma kesiankan Ibu.Siang bekerja keras.Malam pulak buat kuih.Ibu tak ada masa untuk memikirkan diri sendiri”
“Ibu hanya ingin kan semua sembilan orang anak Ibu berjaya dalam hidup.Ibu sanggup berkorban apa saja asalkan anak-anakIbu hidup sempurna seperti orang lain.Di dunia ini orang hidup senang di pandang tinggi”Ibu  tetap dengan pendiriannya.


Syukur Alhamdulillah,Ibu   berjaya membesarkan anak seramai sembilan orang menjadi orang yang berjaya.Abang Long menjadi ahli perniagaan.Abang keduaku menjadi arkitek,kakak Solehah menjadi Pengetua sekolah  dan yang lain turut berjaya dalam bidang masing-masing.Aku menjadi surirumah.Aku belajar hanya setakat SPM.Abang Long dan semua saudaraku yang lain sepakat mengatakan aku tidak payah belajar tinggi-tinggi.Sudah sampai masanya Ibu berehat.
Semasa suamiku masuk meminang semua memandang hina padanya.Maklomlah,dia tidak punya apa-apa.Anak yatim piatu.Tinggal dengan nenek yang sudah uzur.Aku tidak pernah menyesal berkahwin dengannya.Aku menerima dirinya seperti seadanya.Aku tahu budi baiknya,aku kenal dia  sejak usiaku awal remaja.Aku merasa sangat bahagia bersamanya.Walau pun kehidupan kami sangat daif,aku bahagia di sampingnya.
Dia memberikan aku kasih sayang .Dia berupaya menjalankan tanggungjawabnya terhadap aku dan anak-anak.Aku tidak pernah merasa kekurangan bila bersamanya.Cuma aku kesalkan cara layanan keluargaku terhadapnya.Dia suamiku.Walau dia tidak berupaya menghadiahkan aku emas dan permata namun setiap kali menyambut ulangtahun perkahwinan dia tetap menghadiahkan aku sepasang telekung dan senaskhah Al-Quran.Katanya dia mahu aku ingat perintah Allah.Dia mahu aku taat kepada Ibuku dan menjadi isteri  sebaik Siti Khadijah.Seperti kasih Adam pada Hawa.
“Jangan sesekali engkar pada Ibu.Ibu permata hati kita.Tanpa Ibu kita tidak akan dapat memandang dunia.Di bawah telapak kaki Ibu ada surga”.Itu pesanan suamiku.
Ibu,tatkala aku memandang wajah Ibu aku teringat bagaimana Ibu menyayangi  abang-abang dan kakak-kakakku.Ibu sungguh sayangkan mereka.Bila wajah Ibu berkedut seribu menahan kesakitan mereka menjauhkan diri.Mereka asyik dengan isteri dan anak .Mereka lupa Ibu rindukan suara mereka.
“Azman.Solehah,Hanisah……ibu rindukan semua”
Ibu mengigau lagi.Berulangkali Ibu memanggil nama Kak Lang,Abang Long dan semua mereka.Tubuh Ibu mengigil.Badannya semakin panas.Ibu meracau  lagi.Memanggil nama yang sama berulangkali.Aku jadi takut.
“Ummira,Abang nak ke rumah Pak Long sekejap.Ibu semakin kuat demamnya.Biar abang jemput mereka ke sini.Ummira jaga Ibu  ya”suamiku bingkas menghidupkan enjin kereta.
Bila aku melihat kea rah dinding,jarum jam menunjukkan jam 1.45 pagi.Ahhh…Luqman pulak menangis seakan tidak mahu berhenti.Sudah lenguh tangan aku menghayun buaian.Suara tangisan nya nyaring.Anak sulung dan kedua ku terjaga.
“Ada apa Mama?”


“Taufik dan Zura tolong tengukkan nenek.Ambil Al-Quran tu baca”aku menyuruh kedua anakku menjaga Ibu.
Aku menelefun semua saudaraku memberitahu keadaan Ibu.Kak Hanisah marah-marah sebab ganggu mereka tidur.Kak  Hanisah pula menengking aku kononnya sakit sikit pun nak menganggu di tengah malam buta.
“Tak boleh bawa ke hospital ke?Suami kau kan ada?Malam-malam buta macam ni orang tenguh nyenyak tidur pun nak beritahu sekarang.Tenat sangat ke?”Abang Long merungut di hujung talian.
“Sabarlah Ummira,Kak Solehah akan cuba bertolak secepat mungkin”kata-kata Kak Solehah membuatkan aku tenang semula.Kak Solehah mungkin faham situasiku!.
“Mak Long rasa  elok kita sama-sama beritahui jiran-jiran,Ibu nampak uzur sangat”bisik Mak Long ke telingaku.Aku angguk.Aku setuju dengan Pak Long agar kami sama-sama membaca surah Yassin memohon Allah melindungi Ibu.
Abang Azli suamiku  sibuk memberitahu jiran terdekat.Aku menghampiiri Ibu.Memegang kuat tangan Ibu.Ibu menarik-narik tanganku ke dadanya.Mak Long dan Pak Long ada di sebelah.Memicit-micit badan Ibu.Aku tidak tenang bila Ibu memegang kuat pergelangan tanganku seakan tidak mahu melepaskannya.Kurapati Ibu,mencium  kedua pipinya.kubisikkan kalam Allah.
“Ummira,maafkan Ibu kalau Ibu banyak menyakiti kamu, mana suamimu?”tergagap-gagap perkataan yang keluar dari mulut Ibu.Tapi aku dapat memahaminya.
“Abang ada kat sini,Ibu nak apa”kukucup tangan Ibu tanpa henti.Aku menahan sabar.Aku tidak mahu airmataku jatuh di hadapan Ibu.
“Azli ni Ibu,”suamiku mendekati  hujung kaki Ibu.
“Jaga Ummira sebagai amanah Allah.Jangan biarkan Ummira dan anak kamu menderita.Ibu sayangkan kamu semua.Ibu….Ibu….”Ibu tidak dapat berkata-kata dengan lancar lagi.
“Mana  Hanisah ,Kak Lang.Kak Ngah……………….Abang Long……suara Ibu tersekat-sekat..
“Ibu,jangan sesekali lupa mengucap Ibu.Ashaduanlailahaillah.Muhammada rasulullah”aku membisikkan kalimah itu berulangkali ke telinga Ibu.Ibu mengangguk perlahan.
Aku melihat dada Ibu semakin berombak kuat.Ibu tidak mahu melepaskan tanganku tapi di mulutnya asyik menyebut-nyebut nama  kesemua kakak dan abangku.
“Sekejap lagi mereka akan sampai,mengucap  Fatimah”Pak long memujuk.
Mulut Ibu terkumat-kamit membacakan ayat suci Allah.Selama hayat di kandung badan,Ibu tidak pernah meninggalkan solat lima waktu,berpuasa di bulan Ramadhan dan menjaga maruah seorang Ibu tunggal.Aku berdoa  Ibu tidak akan lupa kalimah suci Allah.
Surah Al-Kahf ayat 46:Harta benda dan anak-anak itu  menjadi perhiasan  hidup di dunia.
“Ibu,maafkanlah setiap kesalahan Ummira   dari  hujung rambut hinggalah ke hujung kaki.Halalkan  susu yang pernah Ummira teguk.Maafkah setiap kesilapan Ummira pada Ibu”ku bisik ayat ini berkali-kali di telinga Ibu.Ibu membuka kelopak matanya.Ibu mengangguk.
Harta kekayaan hanya nikmat dunia.Anak-anak  adalah perhiasan dan penyeri rumah tangga.Tapi mengapa mereka sanggup  melukakan hati seorang Ibu.Tidak pernah ingin berteimakasih pada jasa-jasa Ibu?Walaupun aku tidak bersekolah tinggi ,aku tidak akan menjadi anak durhaka.Aku percaya sesungguhnya surga itu di bawah telapak kaki Ibu!.
Aku mengambil cebisan  kain putih yang ada dalam gelas yang berisikan air zam-zam yang sudah di baca dengan  ayat-ayat suci Al-Quran.Aku  meletakkan di bibir Ibu.Biar basah dan dingin.Namun  Mak Ngah dan Pak Ngah berbisik-bisik.Aku tahu Ibu sedang berhadapan dengan  maut.!
“Sudah hampir waktu  Subuh.Biar Mak Ngah pulak jaga mak kau”Pak Ngah bersuara resah.
“Tak apalah,kalau Pak Ngah rasa mengantukpergilah baring dulu.Biar saya yang jaga mak”suamiku pulak beria-ia menawarkan diri.
“Ya lah tu,Ummira pun  nampak Mak Ngah pun sudah letih.Mak Ngah tidurlah sebentar.Biar kami yang jaga mak”aku menambah.
“Pak Ngah bukannya apa,abang-abang dan kakak-kakak kau tu sorang pun tak sampai-sampai lagi.Apa mereka fikir mak kau ni  demam biasa saja ke?Semua sekolah tinggi-tinggi,kerja pun baik-baik belaka.Beritahu awal pun,sampai sekarang sorang pun tak nampak batang hidung”ungkit Pak Ngah dengan nada marah.
“Mungkin sekejap lagi kot,kan tadi Solehah dan Hanisah  beritahu mereka sedang dalam perjalanan.Bawa bersabar sikit abang oiii”pujuk Mak Ngah.
Suara azan Subuh berkumandang .Sayup-sayup terdengar laungan suara Haji Ismail  gemersik sedang mengalunkan azan.Allahuakbar Allahuakbar….merdu suaranya menusuk ke tangkai hatiku.
“Kalau macam tu,engkau pergi sembahyang dulu,Ummira.Nanti nak siapkan  sarapan untuk anak kau ke sekolah pulak.Biar  kami yang jaga mak kau”
Aku tidak membantah suruhan Mak Ngah .Waktu Subuh tidaklah  panjang macam waktu solat lain.Walau pun hatiku berat untuk bangun meninggalkan Ibu yang ku lihat dadanya  s ering berombak ,nafasnya turun naik tidak stabil tapi aku faham solat adalah wajib.Hukumnya berdosa jika sengaja meninggalkannya.Aku pasrah.Aku mengambil wuduk dan terus bersolat.Semasa  aku sedang dalam tahiyyat akhir itulah aku dengar Mak Ngah memanggil namaku dengan nada cemas.

Aku  selesai memberikan salam,Mak Ngah menarik tanganku tanpa sempat aku berkata apa-apa.Subhana`allah,semua yang ada sedang mengelilingi Ibu.Bila aku mendekati Ibu,sekujur tubuh Ibu telah longlai.Aku sempat membisikkan kalimah Laillaha ilallah,Muhamada rasulullah ke telinga Ibu.Perlahan-lahan  Ibu telah menghembuskan nafas terakhirnya di atas ribaku!
Innalillahiwainnailaihiraji`un.Mati itu pasti.Bila malaikat maut tiba,sesaat pun masa tidak mampu kita ubah.Jangan ada airmata yang menitis saat ini.Aku tidak mahu terbawa-bawa oleh perasaanku!Sabda Nabi:Separuh  dari pada keimanan ialah kesabaran.
Aku bukan saja kehilangan orang yang paling kusayang tapi aku hilang rasa hormatku terhadap semua saudaraku.Aku dengar deruman bunyi kereta satu persatu mula memenuhi ruang laman rumah  kami.Riuh –rendah suara cucu,cicit dan semua saudaraku seramai lapan orang itu tidak membuatkan aku gembira.Aku sedih Aku berduka dengan tingkah laku mereka selama ini yang terlalu taksub mengejar harta dunia,terlalu mengikut kata-kata isteri dan suami.Mereka lupa siapakah yang melahirkan mereka.Mereka sangka mereka sudah cukup berbakti pada seorang Ibu?
Masa memang selalu memusuhi kita.Manusia juga berubah kerana masa.Masa inilah aku lihat masing-masing mengerumuni sekujur tubuh Ibu.Airmata dan tangisan itu tidak mampu mengembalikan kesedihan Ibu.Ibu telah pergi untuk selama-lamanya.Maaf…ampun…itulah ayat yang keluar bila mereka mencium tubuh Ibu yang kaku dan bisu itu.Apakah maaf itu dapat di terima ?
Saudaraku sekalian,berdosa jika kita membuatkan airmata seorang Ibu itu jatuh membasahi pipinya kerana  hatinya tercalar dek tingkah laku kita.Kalian semua telah menyakiti hati Ibu.Membiarkan semangatnya hilang.Sesungguhnya kalian tidak akan dapat membayar semula kasih Ibu.Ibu telah pergi untuk selama-lamanya.Hanya kenangan yang kita lalui abadi  di jiwa.Ibu,kita pernah berjanji biarpun semua masa di dunia ini terpadam kasihsayang kita tetap bersatu selamanya.
Aku hanya melihat semua abang-abang dan kakak-kakakku  menangis.Menangislah sepuas hati!Jeritku dalam hati.Bila semua persiapan untuk  mengebumikan jenazah Ibu selesai,masing-masing sibuk menuding jari.Menyalahkan orang lain atas setiap kesalahan  diri sendiri.Mulalah semuanya bertegang leher.
“Kita berusaha atas apa yang kita mahu,tetapi Allah menentukan apa yang akan berlaku.Ummira harap kita semua tidak payahlah bising-bising.Biar roh  Ibu tenang di sana”kataku tenang.
“Engkau cakap memang senang,tapi kami masih tidak puas  hati dengan apa yang terjadi”Abang Long mencelah.
“Saya tidak kesal dengan takdir Tuhan tapi saya kesal kerana selama ini semua kakak-kakak dan abang –abang tidak pedulikan Ibu.Ibu menderita memikirkan anak-anak yang begini ramai sanggup membiarkan Ibu  keseorangan.Ibu ada perasaan,kita kena faham”tuturku  seraya memandang  mereka.

Semua hanya mendiamkan diri.Mungkin rasa menyesal.Fikirku.Terusik hatiku bila semua barang peninggalan arwah Ibu.Aku mengeluarkan semua barang-barang berharga,dokumen penting yang ada dalam sampul dan menyerahkan kepada Abang Long.
“Saya tidak mahu ambil apa-apa .Saya telah membuat  keputusan ini dengan ikhlas.Minggu depan kami  akan berpindah rumah kerana Abang Azli  sudah membeli rumah.Kami  sekeluarga  akan berpindah”akhirnya  aku meluahkan apa selama ini terbuku di dada.
“Tapi kenapa  kau buat keputusan macam ni?Adakah kau dah  membenci kami semua?”Tanya Kak Solehah yang sejak tadi hanya membisu.
“Kau marahkan kami ke?”Kak Hanisah menyoal aku kembali.
“Kau juga ada bahagian kau dalam penyerahan harta pusaka.Itu hak kau.Kenapa kau buat keputusan macam ni?Nanti kau akan menyesal”tokok  Abang Azman.
“Saya dah nekad,bahagian saya ,saya wakafkan.Saya  harap rezeki saya dan keluarga saya  akan ada di tempat lain.”
Siapa pun tidak mampu mengubah keputusan ini.Aku dan Abang Azli sepakat.Kemewahan hidup hanya lah factor fizikal.Ketiadaan kasih sayang,kesetiaan dan kepercayaan membuat ramai manusia merana.Aku dan anak-anak bahagia hidup di samping Abang Azli.Dia bertanggungjawab dan beragama.Dia ada harga diri dan maruah.Walau pun hidup dalam keadaan sederhana,dia  tidak pernah mengabaikan perintah tuhan.
Selepas Ibu meninggal,macam –macam peristiwa menimpa  saudaraku.Kak Hanisah  berpisah dengan suaminya kerana suaminya curang.Abang Azman berkahwin satu lagi ,Abang Long jatuh bangkrap.Aku?
Pengalaman hidup mematangkan aku.Anak-anak semuanya berjaya masuk ke Universiti.Abang Azli telah di naikkan pangkat menjadi penyelia di syarikat   tempat dia bertugas.Aku?
Aku meniti hari dengan lebih bermakna bila semua orang yang kukasihi berjaya melakar sejarah kebahagiaan.Aku menjadi seorang wanita  yang memberikan segalanya,seluruh jiwa ragaku untuk keluargaku.Mereka menghargaiku seperti aku menghargai permata yang paling kusayang.Permata yang telah hilang dari pandangan.Permata yang sangat berharga bagiku.IBU.
Bertahun lamanya  menyimpan semua kenangan suka duka bersama Ibu.Suamiku sangat menyayangi  keluarga ku.Seluruh masaku aku bersyukur dengan  apa yang menjadi milikku sekarang.Saudaraku semua,di akhir kalam aku ingin menyampaikan  hasrat Ibu yang  satu itu.Jadikan lah sebagai pedoman.
“Bila semuanya telah kita miliki,akhirnya kita hilang segalanya andai kita tidak pernah merasa  syukur dengan apa yang kita ada.Surga itu di bawah telapak  kaki Ibu”

Dalam munajatku yang panjang di  sepertiga malam ini,aku insaf.Dalam zikir yang asyik ku sedar nafas kita berdenyut keranaNya.Jantungku berdegup  memuja akhbarNya.Aku tenggelam  dalam zauq yang dalam.Saat aku berpaling member i salam,satu wangian seharum kasturi   menyusup masuk ke seluruh kamarku.Suamiku  sempat berbisik,wanita secantik kasih Balkis mampu menyentuh  hati lelaki sebaik Sulaiman.Aku tersenyum sambil  berharap  Nur ini akan menyerlahkan lagi kebahagiaanku walaupun permata yang sangat kusayang telah hilang………………………..
Dedikasi ini sempena mengingati saat pulangnya arwah Ibu ke rahmatullah pada 30 Mei 2003.
Sekian,terimakasih.

Karya:
Che Aziah Daud
Pulau Langkawi
Email - aziah_daud88@yahoo.com.my

No comments:

ORIGINAL MILIK CHE AZIAH DAUD.SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA