Friday, May 6, 2011

MASA YANG HILANG


MASA YANG HILANG.
Aku menjadi seperti seorang pengembara di bumi sendiri.Aku mencari siapa diriku yang sebenar.Aku  telah lama tenggelam di kota besar ini.Aku lupa makna dosa.Aku  lupa jua apa yang di katakan surga.Sejak aku berpijak di kota besar ini,aku lupa asal usulku.Ini kerana sejak mula melangkah meninggalkan kampong halaman yang  menyaksikan kedewasaanku,aku bertekad untuk memulakan kehidupan baru.
Aku tidak kenal siapa-siapa ketika mengatur langkah kakiku ke sini.Aku hanya menurut ke mana saja kaki ini melangkah.Apa yang ada di mindaku hanya satu ingin membuktikan kepada orang kampung bahawa aku bukanlah seperti yang mereka sangkakan selama ini.Puas ibu memujuk agar aku bersabar dengan apa  yang terjadi kepadaku namun pujukan ibu tidak sedikitpun berbekas di hatiku.
Aku malu pada semua mata yang memandangku.Aku anak miskin yang tidak mempunyai apa-apa.Namun aku bangga bila anak Haji Seman  yang terkenal  cantik dan sopan itu menyatakan bahawa dia menyayangiku bukan kerana paras rupa,harta benda atau  pujukanku tetapi dia menerima cintaku seikhlas cinta seorang  gadis kepada lelaki yang yang di kasihinya tanpa ragu.
Aku tidak pernah peduli pada cemuhan orang kampung yang memandang hina pada kekuranganku.Aku hanya peduli bila  Zulaikha mengirimkan ungkapan sayangnya yang tiada berbelah bagi untukku.Bagiku Zulaikha benar.Cinta tidak pernah memilih paras rupa.Sayangnya padaku tiada ragu.Aku percaya Zulaikha mempunyai alasan tersendiri sehingga sering menyakinkan aku tentang rindunya yang satu itu.Aku sangat sayangkan Zulaikha sehingga aku lupa siapa diriku sebenarnya.
“Man,mak bukannya tak suka dengan anak Haji Seman tu.Tapi mak bimbang kalau-kalau  sayangnya pada kau hanya sekadar sayang seorang kawan sepermainan sajaLagi pun siapalah kita jika  nak di bandingkan dengan mereka?Semua orang kampung tahu mereka keluarga orang berpengaruh.Mak takut cinta kau hanya  di tengah jalan saja”mak meluahkan perasaan nya padaku ketika ayah  telah ke sawah.
“Mak,Man dah lama berkawan dengan Zulaikha.Mak jangan bimbang.Zulaikha sendiri  sudah setuju menyuruh Man melamarnya.Man yakin tentu keluarganya dah  sepakat kalau tidak masakan dia suruh Man masuk meminang”pujukku untuk meleraikan kerisauan hati mak.
Aku menyangka cinta seputih cinta seorang Zulaikha yang sangat bersopan itu akan membuahkan kebahagiaan untukku.Aku memujuk mak untuk menghantar wakil meminang walaupun ayah kurang setuju,Ayah juga nampaknya seperti mak.Menganggap cinta kami berlainan darjat!
Alangkah malunya aku sekeluarga bila rombonngan peminangan dariku di tolak mentah-mentah dengan alasan Zulaikha sudah ada pilihan keluarga.Aku tahu betapa hancurnya harapan kami.Zulaikha menangis di bahuku sambil mengharap agar aku  mencuba lagi untuk memujuk  Haji Seman.Zulaikha,sesungguh penghinaan ayahmu terhadap keluargaku membuatkan aku membuat keputusan ini.Aku sangat mengasihimu namun aku tidak mahu menjatuhkan maruah keluargamu.Orang kaya lagi berharta manakan sesuai bersatu.Darjat kita jauh berbeza.
Haji Seman mungkin terlupa  semua manusia itu sama .Rasa ketakwaan dan keimanan yang membezakan sesama insan lain di dunia ini.Dunia juga hanya tempat persinggahan sementara.Dunia ini fana.Tapi siapa aku jika nak di bandingkan dengan pengaruh Haji Seman.
Cemuhan dan hinaan orang kampung konon hanya aku yang tergila-gilakan anak orang berpengaruh dalam kampung tanpa sedar siapa diriku,keluargaku.Aku menjadi kesian pada mak dan ayah.Maruah mereka tercalar kerana aku.Aku tidak mahu melukakan hati mereka.Aku nekad untuk meninggalkan kampung halamanku.Bukan aku malu atau marah tapi aku bertekad ingin memulakan hidup baru.Zulaikha cuba menghalang aku ,tapi aku tetap akan meninggalkan kampung.
Aku melangkah ke bandar besar ini dengan  berteman satu keyakinan.Aku  mencuba pelbagai kerja dan akhirnya aku bekerja di sebuah kilang.Walaupun kenyataannya aku sangat menderita sebatang kara di sini aku mesti bertahan.Zulaikha,bayangmu sentiasa mengekori langkahku.Seminggu,sebulan ,setahun dan sedekad lamanya aku di sini aku berjaya membina masa depanku  .Aku berjaya memburu impianku.Namun jauh di sudut hatiku aku tertanya-tanya bagaimanakah keadaanmu di kampung?
Mak dan ayah telah lama meninggal bila aku tinggal di kota.Aku tidak ada siapa-siapa.Aku ibarat seperti kelasi kapal yang belayar dan belayar,singgah di pelabuhan sebentar Cuma dan belayar lagi.Pengembaraan ini sangat panjang .Di sini aku belajar mencari makna kehidupan.Aku bertarung dengan kesakitan.Aku melupakan cintaku padamu demi mengubat sendiri luka di hati.
Tukk..tuukk..Pintu kamar yang di ketuk kuat mengejutkan aku dari mengelamun.Aku cepat-cepat  membetulkan kerusi dan mengemaskan meja pejabatku.Hayati melangkah masuk sambil tersenyum manis.Setiausahaku yang baru ini sudah pun mempunyai anak dua tapi jika di pandang raut wajahnya sedikitpun tidak menampakkan seperti orang yang sudah berkahwin.Maklomlah perempuan alaf baru ,sentiasa ke depan  bila berkaitan soal kecantikan.Anggun dan menawan,tambahan pula orangnya agak trendy.Namun aku bangga kerana  Hayati mampu menjalankan tugas dengan baik.
“Encik Azman,ada staf baru nak jumpa.Katanya ada hal penting.Petang nanti klien kita  yang kat Johor Bharu akan datang,saya sudah tetapkan masanya”satu lagi temu janji  yang mesti ku tunaikan.
“Nah ambil fail ni dan awak tolong siapkan secepat mungkin,sebelum meeting esok”aku menghulurkan fail berwarna biru.Hayati menyambut lembut dan masih sempat melontarkan senyuman semanis bunga yang baru kembang.Ahhh....perempuan,kalau dah cantik tu  senyum sikit pun sudah mampu membuatkan hati lelaki cair.Saat Hayati melangkah keluar  tiba-tiba telefun bimbitku berdering.Nampaknya panggilan dari rakan  serumahku.Wan,kononnya kena outstation lagi.Nampaknya malam ini hanya aku seoranglah kat rumah.Walaupun usiaku sudah mencecah  40an namun aku masih hidup membujang.Aku sudah serik bercinta.Bila aku mula tiba di bandar baru saja bekerja aku berkenalan dengan gadis kota.Aku tidak sangka  Nora hanya berkasih denganku hanya untuk melupakan kekecewaannya dengan lelaki lain.Aku ingat Nora benar-benar mengambil berat tentang aku padahal sebaik saja mempermainkan perasaan dia pergi.Bijak sungguh  Nora menyusun rancangannya.Dia buat aku percaya bahawa dia seorang perempuan baik.Habis duit gajiku setiap bulan kerana mengikutnya berpoya-poya di kelab malam.Berhibur dan berseronok sehingga aku lupa siapa diriku.
Aku rasa Nora dapat menggantikan tempat Zulaikha.Aku hanyut dengannya.Kerdipan lampu neon  membuatkan aku terpedaya dengan pujukannya.Aku  menganggap Nora sukakan aku seperti aku sukakannya.Aku silap rupanya.Malam hitam itu menyedarkan aku siapa Nora sebenarnya.Aku  terperangkap dengan janji-janji manis Nora.Namun malam jahanam itu telah  banyak mengajar aku erti hidup di kota.Aku masih ingat bagaimana aku terperangkap dengan  jeratnya.Setelah berjam-jam  kami berseronok di  kelab malam  Nora mengajak aku bermalam di kondonya.Semasa berduaan tiba-tiba pintu bilik kami di ketuk.Bila pintu di buka tiba-tiba aku di tumbuk sehingga tidak sempat melawan.Nora hanya terpaku tanpa  berusaha untuk membelaku!
Rupa-rupanya itu adalah teman lelaki Nora,aku hanya tempat Nora melepaskan geramnya.Pisau cukur..perempuan murahan...dan entah apa lagi sumpah seranahku.Habis lebam mukaku kena penumbuk.Nora hanya tersenyum sinis dan menghalau aku keluar seperti seekor binatang.Nora boleh senyum sekarang kerana berjaya membalas dendamnya pada kaum sejenisku.Kononnya lelaki hanya buaya.Akhirnya aku dapat tahu Nora telah  tertangkap dalam satu serbuan di kelab malam .Kini di tempatkan di pusat pemulihan akhlak.
Sejak malam jahanam itu aku menghayun langkah tanpa menoleh ke belakang lagi.Aku bertemu dengan Wan.Wan banyak memberikan aku nasihat dan menolong aku .Hasil kerja keras itulah aku dapat membuka perniagaan ini.Aku  bertekad untuk berhijrah .Aku menyesal kerana mengecewakan  mak dan ayah.Aku tetap  ingat  pesanan mak dulu.Namun nasi sudah menjadi bubur.
“Man,sampai bila nak membujang.Bukan Zulaikha seoarang saja perempuan dalam dunia ni.Saerah tu baru habis sekolah.Anak yatim pulak.Mak suka budak tu.”mak cuba memancing perasaanku untuk menerima cadangan mak nak menyunting Saerah..
“Ayah pun setuju pendapat mak kau.Kau dah ada kerja tetap kat bandar.Mampu  berkahwin.Lupakan Zulaikh.Tak ada jodoh antara kau berdua.Apa lagi yang di harapkan.Ayah tak dengar lagi umpatan orang kampung.Ayah malu,Man”tokok ayah lagi.Nada suara ayah penuh harapan berbaur pilu.
“Biarlah apa orang nak kata,Man tak peduli.Man duduk kat bandar tu pun dah berdikari.Tapi hati Man tak teringin nak berumahtangga.Biarlah masa menentukan,lagipun Man tak nak terburu-buru”kulihat mata mak bergenang.
Aku tahu mak terluka dengan kata-kataku.Mak sangat sukakan Saerah.Anak  arwah Pak Mail yang baru habis sekolah agama.Aku masih mencintai Zulaikha.Sama seperti Zulaikha yang sering mengutus rindu nya secara diam  padaku.Namun sejak aku menetap di bandar aku tidak lagi berhubung dengannya.Khabar terakhir yang kudengar Zulaikha sudah bertunang dengan seorang diplomat.Anak kawan lama Haji Seman.Masih terbayang saat aku dan Zulaikha merentasi sawah  ketika mengejar layang-layang yang terputus talinya.Ke sana kesini tanpa arah .Kukejar di batas kanan manakala  Zulaikha mengejar di  sebelah.Nasib memang menyebelahi Zulaikha kerana layang-layang terputus talinya  itu jatuh di sisi Zulaikha,ketika kami sama-sama berebut talinya  itulah Zulakha jatuh dalam pelukanku.Merah menyala wajahnya menahan malu namun  kulihat senyuman amat manis.Tanpa ku sedari pelukanku kian erat.
Manis   sungguh kenangan di musim remajaku.Zulaikha pernah mengatakan biarpun beribu kumbang yang datang cinta dan kasihnya hanya untukku.Sebab itulah kukatakan pada mak yang kasihku pada Zulaikha bukan olok-olok.Zulaikha tidak pernah memandang kekuranganku!Hanya Haji Seman yang merasakan keluargaku tidak setaraf keluarganya.Perkahwinan tidak sekufu.Aneh sungguh orang alim seperti Haji Seman sanggup  memandang hina pada kemiskinan keluargaku.
“Itu cerita lama Man,jangan kau biarkan dendam menghantui perasaan kau.Sampai i ibu bapa kau mati pun tidak tertunai hajat mereka untuk menerima menantu”nasihat Wan  padaku.
“Engkau tidak tahu perasaanku Wan.Kau masih muda.Belum banyak cabaran kau terima .Aku ni dah lali dengan ujian,kadang-kadang aku rasa mengapa aku jadi lemah kerana perempuan.Nora yang ku sangka dapat mengembalikan semula keyakinan terhadap perempuan pun hanya mempermainkan perasaanku “
Wan hanya memandang kosong wajahku.Aku yang terpana dengan peristiwa yang berlaku padaku.Namun aku bangga bila Wan jujur menolongku sehingga aku berjaya membina empayarku sendiri dalam perniagaan ini.Bila ayah dan mak telah kembali ke rahmatullah aku cepat-cepat sedar bahawa aku memang anak yang banyak menghampakan mereka.Mereka kempunan nak menimang cucu.Itulah hasrat yang tidak dapat aku tunaikan .Kesalku tiada penghujungnya.Mak dan ayah sempat memujiku kerana hidup sebatang kara di bandar akhirnya berjaya juga mengubah corak kehidupan sekeluarga  di kampung.
Sejak aku mengambil keputusan untuk menetap  terus di bandar aku sudah tidak ambil endah hal di kampung.Cuma sesakali aku ke makam ayah dan mak untuk melepaskan rinduku  aku pulang sekejap.Pernah aku terserempak dengan Saerah yang sudah berkahwin dan punyai anak.Dia menegurku ikhlas.Masih seperti dulu.Lemah lembut,sopan santun.Hatiku berbisik patutlah emak dan ayah beria-ia benar memujukku.Aku turut gembira melihat Saerah bahagia di samping suaminya.Walaupun hidup serba sederhana kebahagiaan itulah yang di dambakan manusia.Apa guna tinggal di istana mewah jika hidup tidak bahagia!
Ku teruskan langkah kakiku ke makam mak dan ayah.Aku  merasakan kehilangan mak dan ayah membuatkan aku menjadi seperti ini.Aku ingin menjadi anak mak yang dulu.Setelah selesai aku membaca ayat suci Quran dan menghadiahkan doa agar roh mereka di tempatkan di kalangan orang beriman tiba-tiba bahuku di tepuk.Alangkahnya terkejutnya aku bila aku menoleh ke belakang.Terpaku aku seketika.Terpana aku di buat.Haji Seman sedang berhadapan denganku dan sedang menghulurkan tangan ingin bersalam dengan ku.Aku keliru. Aku terkedu.Namun aku cuba menyembunyikan perasaan resahku lantas ku sambut tangan  Haji Seman yang telah terhulur itu.Dia mendekatiku seraya memelokku.Aku terus kaget.Mampu ku tahan perasaanku ini agar getar jiwaku yang resah ini tidak dapat di kesannya.
“Apakhabar Man,Lama betul tak jumpa.Shahrul cakap dia terserempak engkau  semasa di simpang tadi jadi  aku cepat-cepat datang sini.Aku  dah jangka tentu engkau ke sini .Man,boleh ke rumah sebentar?Banyak perkara nak aku cakapkan”suaranya seloah tersangkut di kerongkong.Aku faham dengan usianya yang begitu.
“Alhamdulilllah saya sihat,Cuma rasa rindu sangat pada kampung halaman ,sebab tu saya singgah sekejap.Sekurang-kurangnya dengan menziarahi kubur mak dan ayah terlerai rindu yang lama tersimpan di dada.Pak Haji nampak masih macam dulu juga”tuturku lembut.
Kuterima pelawaan Haji Seman untuk singgah di rumahnya .Itu permintaannya.Aku akur.Aku bukanlah manusia pendendam.Aku mahu membuang segala yang keruh dan berharap suasana kembali jernih.Biarpun hampir sedekat peristiwa itu menghantui jiwaku namun aku mencuba untuk mencari ketenangan.Ku rasakan sudah cukup lama aku membiarkan diri di mamah memori silam.Aku rela menjadi seorang pelarian andai itu mampu membuat orang lain merasa senang.Aku rela berlari dengan masa andai keputusan ku mampu menjadikan orang lain tersenyum bahagia.Aku rela menjadi pengembara yang meniti waktu tanpa jemu itu membawa tawa mereka berpanjangan.Cuma mungkin aku saja yang terbawa-bawa dengan perasaanku yang begitu berharap sedangkan orang lain  ketawa melihat perlakuan bodohku!
“Man,maafkan aku kalau aku banyak menyakiti kau dan keluarga kau dulu.Sekarang aku insaf .Aku ingin menebus kembali kesilapan aku pada kau Man”Haji Seman memulakan bicara sebaik saja aku melabuhkan punggung ke sofa empuk itu.
“Tak apalah pak cik,saya telah melupa apa yang terjadi,lagipun mak dan ayah dah tak ada.Saya  harap pak cik usah  ingat perkara lama.Saya sekarang  dah hidup berdikari.Saya rasa perkara yang lepas tu usahlah kita ungkit lagi .Lagi pun tak ada maknanya kita sebut perkara yang dah terjadi.Kita hanya mampu merancang Allah  Taala yang berkuasa menentukan semuanya”ujarku lembut.
“Tapi aku merasa berdosa pada keluarga kau.Berat hinaan aku hingga menjatuhkan maruah keluarga kau.Aku juga malu bila sekarang Tuhan menurunkan balanya kepada keluarga aku.Aku kesal.Mungkin inilah balasan Tuhan terhadap perbuatan bongkak aku pada kau”aku menjadi semakin tidak faham apa maksud sebenar yang Haji Seman ingin sampaikan pada aku setelah berpuluh tahun peristiwa itu berlalu.
“Pak cik,terus –teranglah apa  sebenarnya yang berlaku sehingga pakcik jadi begini.Saya tak faham”akhirnya aku bersuara agar jelas apa maksud Haji Seman  beria-ia benar mengajak aku ke rumahnya.
Tanpa membuang masa dia menarik tanganku masuk ke dalam bilik.Bagaikan terhenti nafasku saat ku terpandang sekujur tubuh terbaring lesu di atas katil.Zulaikha,mengapa  begini Tuhan menghukummu.Engkau tidak bersalah padaku.Aku tahu isihatimu padaku.Wajahmu tidak bermaya dan mulutmu asyik memanggil namaku.Kalaulah dapat kutukarkan diriku merasai penderitaanmu aku rela.Bukankah dulu kita selalu berjanji  susah senang akan sentiasa bersama?Bukankah kita juga pernah berkata akan sehidup semati berdua?
Barulah aku mengerti mengapa Haji Seman berhajat ingin berjumpa denganku .Selepas aku berangkat ke kota Zulaikha bertunang dengan Farid yang bertugas di luar negara.Enam bulan selepas itu mereka berkahwin  walaupuan Zulaikha  tidak setuju tapi Haji Seman mengaturkan segalanya.Bila Zulaikha mengikut suaminya menetap di Dublin bermulalah episod duka dalam hidupnya.Farid mahu isterinya hidup sepertinya.Sosial,bergaya dan mengikut status kehidupan sosial kota metropolitan.Zulaikha tidak mahu mengubah pendiriannya.Farid kecewa dan marah.Sejak itulah tubuh Zulaikha menjadi tempat Farid melepaskan geram .Rumahtangga yang di bina tidak bahagia.Apa yang Zulaikha dapat hanyalah penderaan fizikal dan mental.
Haji Seman mendapat tahu keadaan hidup Zulaikha.Farid menceraikan Zulaikha ketika inai masih merah di jari.Haji  Seman terlopong dengan apa yang berlaku.Namun kata pujangga membenarkan kita berfikir sejenak.Kita tidak akan mampu mengembalikan air sungai ke hulu,memulangkan matahari ke tempat terbitnya  semula dan airmata yang jatuh tidak akan mampu  masuk ke kelopak mata seperti dulu lagi!Seperti resmi angin  tidak akan bertiup ke belakang,resmi air yang mudiknya ke depan!
Siapakah yang dapat menolak hukum Tuhan?Satu ketentuan adalah perjalanan hidup kita yang ada destinasi.Ku pandang wajah Zulaikha tanpa jemu,wajah inilah yang membuatkan kasihku tumpah.Wajah redup inilah membuat aku lupa malam ku yang resah.Saat ku renung sinar matamu yang lesu,kenangan indah itu tertayang semula.Nyata Zulaikha meskipun aku tidak dapat menyentuhi tubuhmu namun batinmu menjadi milikku.Zulaikha,biar kubisik padamu bahawa  aku masih seperti dulu.Biar pun aku tewas dalam percintaan ini namun kini aku menang!
Perlahan aku memegang tanganmu.Semoga ada seribu sinar yang akan  menerangi jiwaku semula.Aku juga berjanji pada Haji Seman akan merawatmu biarpun memakan  masa.Haji Seman menguntum senyum bila saat ku genggan tangan Zulaikha matanya terbuka luas.Zulaikha memandangku.Sekarang engkau mungkin menangis menanggung derita tetapi percayalah aku sedang  mencuba untuk membawa cinta kita ke alam nyata...............
Zulaikha,pertemuan kali ini adalah dengan izin Allah.Kebahagiaan ini hadir di saat aku sedang mencari-cari cinta yang abadi.Kepulangan ini juga membuahkan kemanisan untukmu.Percayalah,layang-layang kita kejar dulu masih ku simpan.Bila kau senyum aku akan selalu ada di sisimu.Kau tahu kan aku tidak pernah merasa jemu untuk menyebut namamu.Kau mengheret aku jatuh dalam pelukanmu.Aku tidak pernah melupai saat itu,Zulaikha.....................
Sekian ,terimakasih.
.

KARYA:
AZIAH DAUD.
PULAU LANGKAWI,KEDAH..
E-MEL:aziah_daud88@yahoo.com.my

No comments:

ORIGINAL MILIK CHE AZIAH DAUD.SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA