Saturday, July 2, 2011

MEMORI YANG KAU TINGGALKAN


MEMORI  YANG KAU TINGGALKAN.

Awan hitam pekat  berarak perlahan.Pawana berhembus menyentuhi pipiku.Sebentar lagi hujan mungkin turun membasahi bumi .Namun aku tidak takut pada hujan yang akan  turun.Malah angin yang bertiup kencang  ini tidak lansung  terkesan di hatiku.Pagi ini,pagi Jumaat.Penghulu segala hari.hari yang sangat di muliakan.Aku seperti biasa masih di sini..seperti Jumaat setiap minggu..bersama sebuah naskhah yang mengandungi seribu doa dan Surah suci.
Semakin kencang angin bertiup,semakin memberat awan di langit.Aku meneruskan bacaan  Surah Yassin dengan  intonasi yang berbaur.Di kelilingiku hanya ada  batu nisan yang kaku.Sesekali tercium wangi melor yang kutanam dulu.Ahhh…betapa  sukar dan berat untuk kuceritakan di sini.Ini kisah yang sangat bererti dalam hidupku.
Bila selesai  aku membaca  Surah Yassin aku terus menadah tangan.Tuhan,hanya Kau tempat aku mengadu.Belum sempat  aku  menghabiskan doaku,hujan turun dengan lebatnya .Aku berlari mencari tempat perlindungan.Mujur nasibku baik kerana  hari ini tidak ramai  yang datang menziarahi  tanah perkuburan yang hanya bersebelahan rumahku.Hanya aku dan seorang wanita muda.
Aku mengalih pandangan kea rah wanita di sisiku.Aku menghulur tangan dan  bersalam.
“Assalamualaikum,adik dari mana?Sebelum ni kakak tak pernah nampak adik kat sini?”soalku sambil membetulkan tudungku yang telah basah di simbah hujan tadi.
“Waalaikumusalam,saya Nurul Ain.Bukan pemastautin di sini.Saya baru pertama  kali datang ke sini”jawabnya sopan.
“Ohhh…gitu..kakak selalu ke sini..sebab tu kakak perasaan ini pertama kali nampak wajah adik kat  perkuburan ni.Adik  melawat kubur siapa?”tanyaku lembut sambil mataku galak merenung wajahnya yang ayu itu.
“Nurul melawat kubur  tunang.err..maksud saya bekas bakal suami”wajahnya di paling kea rah kanan.
“Ohhh..maafkan kakak jika soalan kakak menyebabkan adik bersedih.Kakak tidak bermaksud  untuk membuatkan adik  sedih”nyata aku merasa kesal menyebabkan Nurul Ain terpaksa  menyembunyikan emosi sebenarnya.
“Tak apa Nurul faham.Kakak pulak melawat kubur siapa?Sejak awal Nurul datang kakak sudah lama berteleku di situ?”
“Emm..kubur suami kakak”ringkas sungguh jawabanku namun aku harap Nurul Ain mengerti perasaanku.
“Nampaknya hujan semakin lebat ni..”Nurul  menukar topic perbualan kami.
“Begitulah agaknya..Nurul berasal dari mana?”spontan soalan itu keluar dari mulutku.
“Kelantan”
“Dah kerja?”
“Masih belajar..kebetulan cuti semester .Nurul ambil peluang ke sini.Tak sangka pula cuaca  macam ni.Tapi niat Nurul untuk datang sendiri ke sini termakbul juga”Nurul melemparkan pandangan kea rah  batu nisan yang berwarna biru kehitaman.Batu nisan yang di perbuat  daripada batu mar-mar.Sama seperti batu nisan arwah suamiku..
Hujan  tetap turun dengan lebatnya.Sesekali tempias membasahi bajuku.Aku  dan Nurul saling berbual mesra.Sementara menanti hujan reda kami saling bertanya  dan berkongsi cerita.
Rupa-rupanya  cerita Nurul amat pahit dan aku kagum melihat ketabahannya.Walau pun masih belajar dan masih”hijau”di pentas kehidupan  yang serba mencabar ini,Nurul tetap kuat.Nurul kehilangan tunangnya  sehari sebelum majlis perkahwinan mereka berlansung!
Malah Nurul pengsan semasa  di beritahu hal kejadian tersebut.Tunangnya maut dalam perjalanan untuk  ke masjid tempat mereka akan di ijabkabulkan.Peristiwa itu menyebabkan Nurul  kehilangan semangat untuk hidup.Kaum keluarga berusaha keras  menemui doctor dan membawa Nurul berjumpa pakat rawatan tradisonal.Malah keluarga tunangnya juga turut sama memulihkan keyakinan Nurul.
“Kak,perpisahan nyawa..sangat berat.Nurul hilang arah..malah Nurul hamper menjadi gila..”kulihat airmatanya  lebat membasahi pipi.Selebat hujan yang sedang turun sekarang.
Hujan ini memerangkap kami berdua.Kami tidak dapat kemana-mana.Aku tertinggal payung dalam keretaku.Sangkaanku cuaca awal pagi  tadi sungguh ceria bertukar sebaliknya.Tanpa kuduga  hamper sejam aku dan Nurul masih  di pondok kecil di tanah perkuburan.Sejam jika dalam hujan yang lebat sesekali di susuli guruh berdentum kuat tentunya  membuatkan situasi harmoni  menjadi gusar.Alhamdulillah gadis manis yang bertudung litup dan berjubah putih ini setia di sisiku.Kami sama-sama terperangkap di sini..tiada siapa-siapa yang ada selain kami berdua.Di tanah perkuburan yang jauh dan sunyi.Ahhh..mengapa hujan masih tidak mahu berhenti?
“Nurul,kakak mengerti perasaan seperti itu”kudakap  Nurul yang kubahasakan”adik”sejak tadi.
“Nurul masih muda.Perjalanan masih jauh.Nurul mesti memikirkan masa depan.Kehilangan itu abadi.Hilang yang tiada gantinya lagi.Sekalipun yang patah itu akan tumbuh namun ia tidak sama yg telah pergi.Kita pasrah.Kita redha pemergian itu”pujukku.Jauh di sudut hatiku yang tersangat dalam aku juga manusia biasa.
“Semua kisah Nurul telah kakak telusuri,tapi bagaimana  dengan jalan hidup kakak sehingga memaksa kakak  setiap minggu berada di sini?”tiba-tiba Nurul Ain menanyakan soalan yang ingin kubuang jauh.
“Terlalu berat dan sukar untuk kakak ceritakan”aku cuba mengelak untuk mengenang semula memori yang telah terpalit dalam diariku.
“Bukankah tadi kakak ada cakap bahawa setiap ujian ada hikmahNya?”Nurul cuba mengetahui rahsiaku.
“Lebih baik kakak simpan saja kisah pahit tu di sini”kulekapkan kedua tapak tanganku ke dada.Aku harap Nurul faham.
“Kakak,boleh Nurul tanya satu soalan?”
“Boleh,jika  tak keberatan kakak cuba jawab”kuhadiahkan senyuman manis kala  hujan lebat seakan tidak mahu berhenti lagi tika ini.
“Sudah berapa lama suami kakak meninggal?”soalan yang sungguh  pendek tapi perlukan penjelasan terperinci dariku.Tentunya Nurul seorang yang bijak.Fikirku berulangkali.
Aku terdiam sejenak.Merenung semula ke matanya.Gadis cantik di depanku adalah bakal seorang peguam.Hanya setahun saja lagi akan menamatkan sesi pembelajaran  yang sungguh komplikated serta tajam akalnya.
Aku tahu dia sedang membuat tesis penting dalam pengajiannya kini.Mengenai keruntuhan rumahtangga di zaman millinium ini.Nurul sedang berusaha mencari asas logic.Fakta sebenarnya mengapa keruntuhan rumahtangga kian menjadi-jadi di abad ini.Menguatkan bukti dan mencari hujah untuk pembentangan kertas kerjanya di universiti nanti.Setelah aku bermain helah,akhirnya aku mengalah pada gadis berusia 21tahun  ini.Bakal menyambut ulangtahun kelahirannya pada 10.10.2011 nanti.Gadis bermata jeli tetapi hijabnya labuh sekali!
“Nurul,sudah hamper 25tahun suami kakakmeninggal tapi kakak rasakan seperti baru semalam “dia’pergi meninggalkan kakak”akhirnya aku tidak mampu  menyembunyikan lagi rahsia hatiku.
Hujan lebat ini telah memaksa aku membuka kisah hidupku.Diari yang sekian lama kututup,akhirnya kubuka perlahan.Satu demi satu rahsia hidupku tersingkap.Apa yang jelas kisahku hanya satu kesedihan.Jika selama ini aku mampu merahsiakan segalanya namun gadis bermata jeli ini seperti berjaya memukau mindaku.
“Rupanya kakak hanya sempat berbulan madu dan hamil.Melahirkan anak  sendirian.Suami kakak tidak sempat melihat buah cinta kakak bersamanya?”
“Begitulah Nurul.Masa dan takdir menentukannya .Segalanya terjadi begitu pantas.Bercinta lapan tahun berkasih  dalam ijab Kabul hanya lapan bulan”
Nurul memegang tanganku erat.Mata kami bertentangan dan berpaling kea rah batu nisan yang kaku.Batu nisan  tegak membisu.Curahan hujan masih seperti tadi.Tiada tanda-tanda mahu berhenti Sudah sejam setengah kami bergelut dengan kisah silam
“Anak kakak tinggal dengan kakak ke?Lelaki atau perempuan?Siapa namanya?”Wahhh,soalan yang bertubi-tubi.Gaya seorang peguam.Bijak mengatur bahasa.Merancang ayat..siapa tidak terpedaya?
“Teruja sungguh Nurul bertanya..masih belum berpuashati dengan cerita kakak?”
“Hujan lebat kak,kita kesejokan di sini.Kakak tenguk di sekeliling kita..tak ada siapa kan?Lebih baik Nurul hangatkan kakak dengan soalan.Mana tahu pengalaman lampau kakak akan membantu Nurul dalam menyiapkan tesis terakhir Nurul nanti.”di betulkannya jubah putih yang  terkena  tempias hujan.

Hakikat yang terserlah.
Sebelum aku meneruskan cerita silamku ,aku sempat menanyakan asal-usul Nurul Ain.Nurul ain berhijab labuh sejak kecil lagi.Ayahnya seorang tok guru agama yang mengajar ilmu tassauf di  Kelantan.Ramai anak murid Ustaz Sofi  belajar agama dengan ayah Nurul sehingga berjaya membuka maktab persendirian.Malah bakal suami Nurul adalah murid kesayangan ayahnya.Di gelar Tahfiz Hakimi  Hussain.Justeru aku merasa kagum dengan kemuliaan hati yang di miliki  oleh Nurul Ain.Nurul Ain masih belajar di Mesir .Kepulangannya semata-mata untuk ke sini.Kerana rumahnya,hatinya telah di bawa pergi oleh Hakimi Hussain..
Hatiku tersentuh dengan kehidupan Nurul Ain.Tetapi bagaimanakah dengan Nurul.Apakah  sedikitpun naluri keperempuanannya tidak tersentuh sedikit pun dengan bisikan perasaanku?
“Wahai Rabb Yang Maha Hidup
Wahai Rabb Yang Berdiri  Sendiri
(tidak perlu segala sesuatu) dengan rahmatMu  aku meminta pertolongan ,perbaikilah  segala urusanku  dan janganlah  di serahkan kepadaku  sekalipun  sekejap mata(tanpa mendapat  pertolongan dariMu”-inilah  pesanan yang di wariskan untuk umat Muhammad S.A.W.dan amalkan setiap pagi dan petang.Insya’Allah,Tuhan kan mendengar setiap permintaan nurani kita.Amar  selalu mengingatkan aku tentang keberhasilan  zikir ini kepadaku setiap kali kami bersolat berdua.
Aku tidak pernah lupa tentang zikir dan doa yang selalu kami hafal bersama.Amar selalu menenangkan aku tatkala airmataku tumpah mengenang nasib diriku yang yatim piatu sejak kecil.Malah Amar  berusaha keras berjuang  untuk cinta kami.Cinta yang mendapat halangan dari kedua ibubapanya!
Datuk Izlan dan Datin Musliha tidak mahu menerima aku sebagai menantu mereka.Kononnya darjat kami berbeza.Sejauh bulan dan bumi.Keterlaluan sungguh penghinaan mereka sehingga Amar di anggap derhaka semata-mata ingin memperisterikan aku.Mereka  membezakan asal-usulku.Umpama  bintang kejora  bercahaya di langit dan aku adalah rumput yang sering mati di pijak…
Amar tidak peduli semua perbezaan itu.Hidup berhukumkan  sunnah dan Al-Quran.Berpeganglah dengan janji Allah bahawa  semua manusia itu sama  di pandangan mata Allah KECUALI  iman dan takwa.
Amar merayu dan merayu..namun sumpah seranah Datuk Izlan dan Datin Musliha lebih bermakna.Amar akhirnya redha dengan untung nasibnya yang telah di tentukan.Amar bukannya anak derhaka.Amar mohon restu dari kedua ibubapanya.Setulus hati berharap dan memohon Tuhan mengembalikan cahaya hidayahNya untuk kedua ibubapanya.Gagal dan hampa.Akhirnya bapa saudara dan kaum keluarga Amar yang memberi restu dan  menerima kehadiranku dengan rela.
Amar,justeru pengorbanan mu yang sarat dengan kasihsayang ini telah membenih kan zuriat sebaik saja kami   berkawin.
Amar tidak pernah merasakan perbezaan status kami satu halangan besar dalam hubungan.Malah aku bersyukur dan berterimakasih kepada Tuhan dengan setiap kurniaannya.Mempunyai suami yang bertanggungjawab,melayanku seperti seorang bidadari.Aku  sanggup berkorban apa saja demi Amar.
Kemuncak kehamilanku aku  di uji dengan ujian yang sangat berat.Amar merahsiakan penyakitnya dariku.Ketika aku tahu Amar sedang menanggung  penderitaan dari penyakit,doctor mengesahkan  bahawa Amar sudah pun berada di tahap yang sangat kritikal.
Sebelum Amar koma,kami sempat   pergi merayu kedua ibubapanya.Malangnya hati mereka keras seperti batu.Hati mereka tetap hitam dan enggan menerima sebarang penjelasanku.Konon aku mereka cerita  bahawa Amar sedang sakit.Aku di tuduh cuba meraih simpati.Hinakah aku sehingga aku di anggap pembawa “sial” dalam keluarga mewah ini?Bukankah darah kita sama?Darah merah yang berdenyut  hingga seluruh jantung berdegup kuat.Kalau aku tidak mempunyai maruah  dan harga diri mengapa aku sanggup berlutut merayu  Datin Musliha?
Amar menderita barah tulang.Sebelum kahwin Amar nampak sihat.Amar tidak pernah menunjukkan tanda-tanda  dia menderita penyakit barah tulang .Aku sendiri tidak pernah mengetahui  tentang penyakitnya walau sudah bercinta lapan tahun..memadu kasih sekian lama..sehingga  di satu malam yang hening aku terdengar Amar memanggil –manggil namaku.Jam 2.oopagi saat aku  memangku Amar.Amar rebah di atas tikar sejadah biru hadiah ulangtahun hari kelahirannya.Di atas sejadah pemberianku Amar sedang bermunajat menunaikan solat sunat hajat.
Amar berhajat  menamakan zuriat kami yang bakal lahir dengan nama Mohd  Taufik Hidayat.Amar meminta aku membiarkan dia solat sunat sendirian.Cinta di atas tikar sejadah berwarna biru itu akhir menoktahkan harapanku.Seribu harapan agar  zuriat yang bakal lahir dapat di azankan dan sejuta impian  mengharap zuriat ini mampu memulihkan hubungan yang telah retak.Mengharap kaca yang pecah akan bercantum semula.Bagaikan mengimpikan warna pelangi kekal bersinar di hati…
Segala terjadi begitu pantas.Amar telah pergi untuk selamanya.Pergi yang tidak akan kembali lagi.
Sekujur jasmani  dalam perjalanan abadi menuju rumah yang telah tersedia sejak azali lagi.Kita hanya ibarat pelancung,datang melawat dan menziarahi.Dalam  mengembara tentunya kita menyimpan pengalaman atau ilmu sebagai bekal.Akhirat lah tempat sebenar kita bermastautin.Sekujur tubuh di depanku adalah suamiku yang belum dapat melihat zuriat kami.Kerana Amar aku merasakan hidup ini seperti memiliki segalanya…………
Di mata keluarganya yang kayaraya dan berpengaruh itu aku seperti sampah.Membiak menjadi kuman.Menular virus.Mungkinkah kata-kata hina itu akan melemahkan cintaku pada Amar?Semua tohmahan dan fitnah yang di lemparkan oleh  adik bongsu Amar  terhadapku nyata satu tamparan hebat untukku.Kerana itu Amar sanggup membawa aku pindah dari kediaman mewah mereka.Bukan aku tidak pernah untuk mengabil hati mereka.Semuanya hampa.Bagi keluarga yang berkedudukan seperti mereka  aku tidak membawa apa-apa makna.
“Abang harap  Aisyah  puashati dengan kehidupan kita sekarang”ucap Amar tatkala kami menyewa sebuah rumah  di sebuah desa.Pemandangan menghijau.Laman rumah kami luas.Aku gembira dengan kehidupan baru dan sederhana.
“Aisyah bersyukur asal cintakasih abang masih seperti dulu.Selamanya kita berkongsi suka duka Itu sudah memadai.Di sini kita bahagia.Penting sekali rumah ini surga kita berdua dan untuk bayi yang bakal lahir “Amar mencium pipiku berkali-kali sambil mengusap perutku.
“Terimakasih Aisyah…sebab memberi abang peluang untuk mengecapi nikmat cinta sesuci ini”Amar memang prihatin dengan setiap  masalah kami .Amar bertanggungjawab melaksanakan tugasnya .Memberi nafkah zahir dan batin sesempurna mungkin.
“Aisyah yang patut berterimakasih kepada abang kerana  berjaya membuktikan kejujuran,keikhlasan dan kesungguhan abang melestarikan hasrat kita.Tanpa pengorbanan  sehebat itu siapalah Aisyah ni?”ungkapku seraya menghela nafas   penuh syukur.
“Aisyah,abang harap Aisyah sedia memaafkan ketelanjuran ibubapa abang terhadap Aisyah.Jangan berdendam dengan mereka.Terutamanya Amira.Amira masih mentah.Sikap dan penerimaannya  tidak rasional.Mungkin semua kata-kata mereka tidak di teliti sepenuhnya.Walau apa pun tindakan mereka abang harap Aisyah maafkan.Jangan simpan dendam Aisyah pada mereka”rayu Amar.
“Aisyah faham.Aisyah maafkan  semua perbuatan mereka.Malah Aisyah amat berharap dengan kehadiran buah cinta kita  nanti ,hubungan yang terputus akan terjalin semula.Aisyah sedikit pun tidak menaruh dendam dengan penghinaan keluarga abang.Aisyah masih berpegang”tiap-tiap kesukaran pasti di susuli dengan kesenangan.Hari ini mereka mungkin membenci Aisyah.Satu hari mungkin mereka menerima Aisyah.Itu doa Aisyah setiap kali usai solat bang”jelasku  penuh bernada harap.
Sikap dan tingkah laku Amar tidak lansung  menunjukkan dia sedang menahan kesakitan.Amar tidak pernah merungut.Amar sering menasihati dengan kata-kata berhemah.Amar mahu aku selalu tabah.Amar mahu aku kuat.Amar mahu aku  sabar dan menerima segala yang berlaku adalah satu takdir yang menyimpan hikmah tersendiri.Amar tidak sesekali mengabaikan solat lima waktu.Amar adalah denyut nadiku yang kedua.Amar penyelamat maruahku.Kerana cinta seagung itu aku rela  bersama Amar.Amar tidak sesekali menyakitiku.Kesempurnaan peribadinya membuat aku patuh.Cinta nya luhur.Di serahkan hatinya untukku.Amar tidak pernah menunjukkan tanda-tanda dia sakit.Aku tidak tahu Amar memang menderita  kerana penyakit yang di rahsiakan itu dariku.
Cahaya lara.
Hanya beberapa minggu lagi aku akan melahirkan permata hati kami.Amar beria-ia mahu aku menjalani pemeriksaan untuk mengetahui jantina anak kami.Aku mengerti keterujaan suamiku.Dia benar-benar bahagia bila skrin di depan kami menunjukkan gambaran jelas.Bayi lelaki.Amar mencium dan memelokku sepuasnya bila dmengucapkan tahniah dan berharap kami bersabar menanti kelahiran permata sulung kami.
Dalam menghitung hari itu,kami bersiap sedia .Aku keliru bila Amar beria-ia mahu kami ke kota.Menemui ibubapanya.Katanya untuk memberitahu  kami bakal menerima  cahaya mata lelaki.Dalam perjalanan menuju ke rumah mertuaku,Amar asyik menyebut  nama bakal putera sulung kami.
“Sekurang-kurang Amira akan dapat menerima kita.Moga  Mama dan Papa akan gembira dengan pewaris mereka”aku tahu Amar terlalu berharap pertemuan ini akan mengembalikan kemesraan keluarga nya.
“Mak Long dan Pak Long pernah kata Mama dan Papa tidak pernah berubah”ucapku penuh sangsi.
“Moga doa kita berdua akan mencairkan hati mereka”senyum Amar sambil mengenggam erat tanganku.
“Insya’allah”jawabku berbaur sayu.
“Jangan lupa tau,beritahu Mama dan Papa.Cucu yang bakal lahir ni lelaki tau”berulangkali Amar  berbisik perkara yang sama.
“Abanglah yang beritahu  ,mana tahu hati mereka lembut dengan kata-kata abang.Aisyah ni hanya  sampah saja di mata mereka.”balasku perlahan.
“Sayang,kan  abang dah cakap dulu.Aisyah jangan bersangka buruk dengan mereka.Mana tahu nanti  hati mereka dah sejuk”pujuk Amar sambil memandang sisi  kanannya.
“Ohhh,Aisyah hamper terlupa”
“Apa hal?”
“Mak Long ada berikan madu lebah,airgamat dan entah apa lagi dalam bungkusan plastic biru tu.Katanya untuk persiapan dalam berpantang nanti”ku mencapai plastic di belakang tempat duduk kereta.
“Ehhh,banyak betul barangnya.Mak Long dan Pak Long ni ingat Aisyah berpantang setahun ke?”usikku pada Amar.
Ala..Mak Long memang macam tu.Sayang dan manjakan Aisyah.Pak Long tu sebut saja apa makanan yang Aisyah mahu .Semuanya akan di cari..mengalahkan  puteri raja isteri abang ni”Amar memang rapar dengan mereka sejak kecil.
“Buat apa abang nak cemburu,kita kan sayangkan mereka macam keluarga sendiri”tokokku  dengan gembira.
“Ya lah,sebab tu Mak Long dah janji nak jaga Aisyah selepas bersalin nanti”
Setibanya kami di perkarangan rumaaah mentuaku,banyak kereta tersusun di laman.Aku rasa tentulah ada majlis tertentu.Mama dan Papa memang selalu mengadakan majlis social.Kadang-kadang Amar pernah menceritakan  beliau tidak selesa berada di rumah.Maklumlah parti lewat malam.Ramai teman-teman Mama  berpakaian tidak sopan.Kawan Papa usah ceritakan.Terhuyung-hayang mabuk.Amar tidak mahu mencetuskan keributan dalam banglo mewah mereka.Amar selalu ke rumah Pak Long.Pak Long saudara kandung Papa tetapi mempunyai perwatakan yang sangat berbeza sekali.
Amar memimpin tanganku .Perlahan kami menapak masuk.Mencari Papa dan Mama.Kulihat Amira berpelukan dengan lelaki berambut perang.Aku terkedu.Cepat aku mengalihkan mata kea rah lain.Di ruang tamu yang tersergam indah,di penuhi perabut serba mewah kami mendekati Mama.
“Assalamualaikum  semua”lafazku penuh sopan dan cepat menghulur tangan untuk menyalami Mama.
“Ohhh.perempuan hina ni yang kau bawa pulang.Amar,bukankah Papa dah cakap Papa tak mahu tenguk kelibat perempuan ni dalam istana kita?”tajam  kata-kata nista.Berbisa sekali.Tersa seluruh darah berhimpun di daerah jantungku.Sarafku menjadi tegang.Hormon dingin ku bertukar menjadi panas.Seperti api.
“Mama,tujuan kami datang ke sini untk memberitahu Mama tentang..”belum habis ayat  itu keluar dari mulut Amar Datin Musliha sudah menyinga.
“Abang,jom balik.Lainkali saja kita berbicara hal ini”aku menarik tangan Amar.
“Walau apa anggapan Mama,ini isteri yang sah.Kami saling menyayangi.Mama.lihatlah Aisyah”pujuk suamiku penuh pengertian.
“Oooo..jadi kau orang datang ni nak minta  kami mengaku dan kehadiran isteri kamulah”Papa mencelah garang.
Semua mata memandang kea rah kami.Kurasakan percikan peluh dingin semakin mengalir laju.Tuhan,aku sedang mengandung.Aku tidak mahu anak yang kukandung ini  merasai penderitaanku.Aku bersabar demi menunaikan janji ku pad a suamiku.Jika aku memegang bara api,tentunya kubiarkan menjadi arang.Jika aku sudah begini lama dalam hujan,tubuhku kaku kesejukan.Jika sekian lama aku berdoa dan berharap tentunya Tuhan akan makbulkan jua permintaan hatiku.
“Datuk Izlan dan Datin Musliha,ingatlah kata-kata ini:rezeki,kemuliaan,kekuasaan,kemewahan harta benda,ilmu adalah milik Allah.Malah nyawa kita kepunyaan Allah.Tiada yang kekal dan sempurna.Janganlah hanya cintakan dunia semata.Takutlah mati kerana malaikat maut sedang menunggu kita”ucapku   penuh emosi.
Biar seluruh penghuni banglo mewah yang sedang memandang ku faham.Sesungguhnya aku dan amar datang bukan untuk menagih simpati.Tidak berharap pula sebarang pemberian material Aku dan Amar datang dengan rela.Kami datang untuk memohon restu dan keampunan.Buang yang keruh ,ambil yang jernih.Namun kata-kata PakLong tepat sekali.Mereka telah buta.Mereka telah tuli.Mereka mencipta neraka dunia di rumah mereka sendiri.
Malam itu Amar mahu sendirian menunaikan solat.Doanya amat panjang.Zikirnya menyentuh sanubari.Amar terus mencapai Al-Quran .Membaca seperti selalu.Lewat dinihari Amar menunaikan solat hajat.Aku tahu Amar sedang memikirkan tindakan Papa dan Mama  siang tadi.Aku tahu hatinya hancur.Aku jga dapat mengerti perasaannya.Mana ada anak sebaik Amar.Amar Aku larut dalam kesedihan ini.Sambil mengusap perut aku terus merebahkan badan.Sekurangnya aku dapat  berehat dari perjalanan yang jauh tadi.Kandunganku  telah sarat.Fizikal dan mentalku perlukan rehat yang cukup.Aku mahu bebas dari sebarang tekanan.Aktiviti harianku turut dibantu Amar.Amar tidak mahu aku runsing dan terbeban dengan masalah.Aku akur.Demi anak yang bakal kulahirkan!
Belum sempat mataku terlelap,aku terdengar Amar memanggil namaku.Berulangkali.Kurang jelas tapi  penuh nada mengharap.Aku bingkas menuju ketempat solat.Alangkah terperanjatnya melihat Amar kian lemah memaut bahuku.Amar jatuh atas ribaku.Aku  berulangkali membisikkan kalimah syahadah.Tiada sesiapapun tahu di mana kita akan mati.Bagaimana pengakhiran nafas kita.Di atas tikar sejadah yang membenihkan cinta kepada Pencipta Yang Addin,aku pasrah.Dia pergi dalam senyuman.Dia pergi dengan ucapan:Lailahaillallah.Perlahan kututup matanya….
Telah pergi satu jasad menemui TuhanNya!
Allah berfirman:”Sesungguhnya orang  yang beriman  hanyalah  orang-orang yang  beriman kepada Allah dan RasulNya.Kemudian mereka tidak ragu-ragu  dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka  pada jalan Allah,mereka itulah  orang-orang yang benar”-Al-Hujara’at(49):15.
Dentuman guruh yang kuat dan kilat yang sabung –menyabung di langit menyedarkan aku dari lamunan yang panjang.

”Kakak, kenapa kakak menangis?Kakak mengelamun ya..sampai tak sedar  kita dah basah ni”Nurul Ain menggoyang-goyangkan tubuhku kuat.
“Ohh….kakak dah tenggelam dengan emosi kakak.Semuanya yang kakak ceritakan itu  adalah kisah silam kakak”airmata hangat mula turun membasahi pipiku.
“Kakak,Nurul tak berniat pun untuk menyakiti kakak dengan nostalgia pahit tu.Sekarang Nurul yakin kakak sudah dapat menerima ketentuan ini kan.Sama macam Nurul.Kita kehilangan orang yang paling kita sayang.Di saat kita sangat memerlukan mereka .Tuhan ambil mereka.Adil ke  dunia ini?”soal Nurul kembali.
“Tuhan tidak pernah menzalimi hambaNya,kecuali  menguji iman kita”balasku.
“Mana anak kakak?”
“Sejak di lahirkan,keluarga  Amar mengambilnya.Kakak hanya sempat memberi nama yang arwah suami kakak ingin”
“Mohd Taufik Hidayat”serentak perkataan itu keluar dari mulut kami berdua.
“Kakak pernah mencarinya?”
“Sudah puas Nurul.Mak Long cakap mereka berhijrah ke luar Negara.Mereka mahu melarikan  dari kakak.puas kami berusaha.Mereka tidak mahu kakak menjaga zuriat kakak .Pelbagai alas an dan halangan .Mereka anggap kematian Amar berpunca dari kakak.Mereka sangka kakak gila meroyan kerana  kematian suami.Tuduhan dan fitnah yang berasas sama sekali..Mereka sungguh kejam.Lebih hina dari seekor haiwan”
“Kakak tetap berusaha mencari jejak mereka.Sampai mati pun kakak akan mencari anak kakak yang mereka sembunyikan”
“Tuhan beserta orang yang benar dan sabar.Nurul berjanji akan cuba membantu kakak.Nurul akan berusaha mencari anak kakak.Sama-samalah kita berdoa”Nurul memelokku .
Hujan telah reda.Kami saling bertukar alamat dan nombor telefon.Nurul gadis yang baik.Datang dari keluarga yang patuh  kepada pegangan agama.Walau pun Nurul memiliki kekayaan,kecantikan budi dan pekerti di sertai rupaparas  yang ayu,dia gadis terhormat.Keluarga nya terkenal dengan  keindahan perilaku.Bertuah sungguh lelaki yang memperisterikanmu..
Nilai kemanusiaan sejati.
Enam bulan selepas pertemuan itu aku menerima e-mel panjang dari Nurul Ain.
“Kakak Aisyah yang di hormati,Nurul sudah pun menyiapkan tesis terakhir Nurul.Ramai kawan-kawan Nurul tidak percaya bahawa Nurul mampu menyiapkan tesis sebaik ini.Malah pensyarah Nurul menganggap hasil tulisan  itu seperti sebuah novel.Kakak,Nurul sekarang  berminat dengan  dunia sastera.Minat itu timbul bila mendengar kisah silam kakak.Mujur pengajian ini akan tamat dalam beberapa minggu lagi.Nurul ingin menjemput kakak untuk ke majlis konvokesyen Nurul nanti.
Nurul harap kakak tidak akan menghampakan  hasrat suci ini.Nurul telah  hamper mengenggam segulung ijazah dalam bidang undang-undang.Nurul percaya kakak juga salah satu inspirasi  yang menyalakan api dalam hati Nurul.Keluarga Nurul  tetap mahu menemui kakak.Jadi kakak mestilah setuju untuk hadir ke majlis bersejarah itu.
Bukankah kakak pernah berjanji untuk bertemu semula dengan Nurul Ain?
Apakah kakak sudah lupa bahawa Nurul  pernah  berkata  untuk membantu kakak.Percayalah kakak,Nurul sudah mula mencari jejak anak kakak yang sangat kakak rindui itu.Ramai teman-teman akrab Nurul saling  membantu untuk menamatkan pencarian kakak.Insya’Allah,kami telah mendapat petunjuk dengan kerjasama  pihak tertentu dalam menolong kakak.
Kakak,bumi mana yang tidak di timpa hujan?
Laut mana yang tidak bergelora andai ombak sederas tsunami?
Bumi mana yang tidak musnah jika gempa bumi sering terjadi?
Kakak,semua manusia di dunia ini tidak sempurna.Kita leka.Kita alpa.Kita kira Tuhan menurunkan bala untuk memusnahkan alam semesta.Kita  berprasangka buruk dengan ujian Tuhan.Kakak.kisah silam kakak sungguh meruntun jiwa.Nurul ingin menulis kisah cinta,pengorbanan,kehilangan dan ketabahan hati seorang wanita yang di tinggalkan orang yang di cintai ,di saat-saat sedang memadu kasih..penderaan emosi  yang di lakukan terhadap kakak.Bukankah sepatutnya mereka menjaga amanat yang di tnggalkan itu?
Jihad batin kakak tentunya mendapat perhatian Allah S.W.T.Janji Allah sebesar zarah setiap kebaikan atau kejahatan akan di balasNya.Cuma masa yang  menentukan.Kesabaran dan ketabahan hati kakak sekuat hati srikandi islam..Dalam tafakur yang panjang Nurul  mengaku kakak mempunyai hati yang suci.Walau pun lahir sebagai yatim piatu namun hati kakak mulia.Membahagia suami kakak dan hingga sekarang kakak masih tidak jemu menzahirkan rasa kecintaan itu.
Akhirnya Tuhan akan makbulkan permintaan kakak.Anak kakak memiliki keperibadian arwah suami kakak.Kami telah berjumpa dengannya dan keluarga bekas suami kakak.Semuanya telah berubah.Dengan izin Allah,pencarian ini menjadi mudah.Kakak,di sini Nurul sediakan tiket penerbangan untuk kakak ke sin i.
Sampai kita bertemu kembali..salam sayang dari Nurul Ain.Assalamualaikum .
Kubaca beribu kali e-mel kiriman Nurul Ain.Masih ada seorang gadi sepertimu di abad canggih ini.Gadis berhijab labuh dan berjubah putih itu telah memukau mindaku.Pesonanya  semulajadi.Auranya tersendiri.Bermimpikah aku tentang gadis berjubah putih ini?Kutemui ia di pusara arwah suamiku.Gadis senasib dengan takdir yang telah terlukis dalam kanvas kosongku..!
Tapi bagaimanakah pula jalan hidup keluarga Datuk Izlan dan Datin Musliha?Terngiang-ngiang di telingaku ayat terakhir suamiku berbisik”menyerahlah diri kepada TuhanMu,akuilah kehebatanNya.Kerana asalnya kita tiada,di adakan seperti ada.
Saujana alam yang kupandang dari cakrawala sungguh menawan.Awan gemawan memutih seperti memintal kasihku untuk Mohd Taufik Hidayat.Segera ingin ku temuinya biar pun aku harus menerjah langit biru..bersama muqarabah mencari titik kesempurnaan iman,kuberlari membawa cinta arwah suamiku  …..sekujur tubuhsuamiku yang telah lama pulang ke daerah yang hakiki….
Bersandarkan Firman Allah:
“Belum tahukah kamu  bahawa sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi;dan Dia telah sempurnakan buat kamu nikmat-nikmatNya yang terlihat mahu pun yang tidak kelihatan”-Luqman:20.

KARYA:CHE AZIAH DAUD.
P.LANGKAWI.KEDAH.4.05.2011.

No comments:

ORIGINAL MILIK CHE AZIAH DAUD.SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA