Thursday, June 3, 2010

CINTA YANG BERDOSA.

Jiwa yang telah lama kosong
Menahan getar yang tidak mampu kusimpan
Rahsia hati
Membara hangat palitan rindu yang teramat

Di sini cintaku terdampar
Di atas sejadah biru
Sejuta cahaya menerangi
Kegelapan malam yang kelam

Ya Rabbul Qadhi Jalil.
Bukakanlah untukku segala pintu RahmatMu
Limpahkanlah bagiku limpahan kurniaanMu
Lembutkanlah lidahku dengan zikir-zikir untukMu
Selimatkanlah aku dengan istibraq daripada syurgaMU

Cinta yang berdosa
Telah kutinggalkan bersama-sama debu noda
Cinta yang berdosa
Telah kubuangkan di dalam lautan dalam
Cinta yang berdosa
Telah kuhancurkan dengan taubat penyesalan

Ya Allah Ya Waduud
Luaskanlah perjalananku kepadaMu
Sinarkan hidupku dengan cahayaMu
Tiada lagi liku-liku bersimpang di hati ini
Hanya kepadaMu
Aku berserah dan bermunajat
Mencari keredhaan yang hakiki....!!!!!!!!!!.

KARYA:ZIE(JIWA BAHAGIA)
BUKIT TEMIN,P.LANGKAWI,KEDAH.

Wednesday, June 2, 2010

"WAHAI TUHANKU,
Ampunilah aku,kasihilah aku,tutupilah aibku,tinggikanlah darjatku,berikanlah aku rezeki,tunjukilah aku ,sejahterakanlah aku dan maafknlah aku"
"WAHAI TUHANKU,
berikanlah ampun dan kurniakanlah Rahmat dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi Rahmat"

" Sesungguhnya bagi mereka yang paling utama pada hari kiamat bagiku adalah yang paling banyak berselawat untukku"
"Di mana saja kamu berada,berselawatlah kepadaku,nescaya selawat itu sampai kepadaku"-riwayat Al-Tabrani drp Hussain b.Ali r.a.

Tuesday, June 1, 2010

SEBENING KASIHMU

Senyumanmu membuat aku bahagia sekali
Naluriku bercanda lagi
Dalam diam aku mengejar seribu mimpi

Terpesona merenung sinar matamu
Seakan seribu bintang bercahaya
Luruh di taman-taman surga

Terpenjara satu jiwa
Detik-detik indah mencipta memori
Tak akan hilang perasaan yang membara
Kusimpan dalam sangkar kristal
Mempersonakan mata memandang

Sebening kasihmu
Seikhlas Balqis menyerah cinta kepada Sulaiman
Seredha Zulaikha berharap kasih dari Yusuf
Sesuci Siti Khadijah membawa damai jiwa Rasullullah S.A.W
Bermula kisah Adam danHawa
Membawa zuriat turun ke dunia....!!!!!!!!!!.

KARYA:ZIE(JIWA BAHAGIA)
BUKIT TEMIN,P.LANGKAWI.KEDAH.
1JUN 2010.

Thursday, May 27, 2010

MARILAH KITA.

Seandainya kata-kataku
Mengundang resah di kotak fikirmu
Itulah kiriman hasrat
Untuk kau cari makna yang tersirat

Seandainya kata-kataku
Membuat kau tersenyum
Itulah keinginanku
Melihat kebahagiaanmu menyerlah

Seandainya kata-kataku
Hadir didalam jiwamu
Itulah pernyataan keberadaan peribadiku
Isyarat sebuah ketulusan hubungan
Menjalin keharmonian sesama insan

Seandainya kata-kataku
Menyentuhi realiti kehidupanmu
Bersamalah kita menadah tangan
Menghimpun seribu doa
Menyempurnakan ukhwah

Mari....marilah kita
Meruntuhkan semua tembok halangan dan keraguan
Menuju jalan kedamaian
Dunia penuh kesejahteraan....

KARYA:JIWA BAHAGIA(ZIE)
BUKIT TEMIN,P.LANGKAWI,KEDAH.
28 MEI 2010.

Aku rela

AKU RELA.

Impian yang tidak pernah terlaksana
Menimbun resah yang tidak berpenghujung
Luruhlah segala kudrat
Hingga rela
Hayat di lukai

Kulihat ke kanan
Tangan melambai dengan secangkir madu
Kuberpaling ke kiri
Tangan membawa secangkir hempedu
Kulihat ke cermin di sisi
Bening mata melatari nubari

Bila kusedari
Suaraku tidak mampu berdesis lagi
Saban hari
Mendepani hidup yang pahit ini
Adalah satu luka yang sangat lara

Andai musim telah bosan
Mengiringi perjalanan yang penuh berliku ini
Aku rela
Ironinya,ada hikmah di sebalik tragedi ini..!!!!

KARYA:AZIAH BT DAUD
KOTA MAHSURI,P.LANGKAWI,KEDAH.
28MEI 2010.
MENGULIT MIMPI

Genggaman erat tanganmu
Tanda simponi kasih kita
Berpadu dan berlagu riang

Lafaz kasihmu
Penuh indah terukir di jiwa
Santun budimu
Meresap ke akal fikirku

Seribu kali manisnya lafaz janjimu
Kuingati
Detik berada dalam ribaanmu
Mengulit mimpi

Demikian hari silih berganti
Di selembar kertas putih bersih ini
Kutulis untukmu suara hati
Semuanya keranamu

Jika angin beralih arah
Jika mimpi bertukar wajah
Itulah kelansungan sebuah kisah
Percintaanmu dan percintaanku
Meladeni dua jiwa
Hingga jasad terkubur........

KARYA:AZIAH BT DAUD.
BUKIT TEMIN,P.LANGKAWI,KEDAH.
28 MEI 2010.

Saturday, May 22, 2010

"Ya Allah,telah terbenamlah segala binatang telah terlelaplah segala mata,sementara Engkau yg tetap hidup dan tegak perkasa,tidak pernah di buai lena apalagi tertidur.Wahai Tuhan yg Maha Hidup,Maha Gagah Perkasa,tenteramkanlah aku di kala mengharungi malam ini dan lelapkanlah mataku."-wirid sblm tidur.
ORIGINAL MILIK CHE AZIAH DAUD.SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA